“Farid Kamil Tak Seperti Apa Yang Sedang Berlaku”

Berkongsi mengenai kejadian yang menimpa abang iparnya, Farid Kamil baru-baru ini, Yana Samsudin menegaskan Farid bukanlah seperti apa yang berlaku. Malah kontroversi yang terjadi turut membuka mata mereka sekeluarga dan tertanya mengapa ianya berlaku

BACA: Yana Samsudin Beri Kata Semangat Buat Suami

“Ia membuka mata semua orang termasuk kami ahli keluarganya yang sehingga ke hari ini masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi. Sebelum Farid bergelar abang ipar saya, dia terlebih dahulu menjadi ‘abang’ saya sewaktu menyertai syarikat MIG suatu ketika dahulu”

“Saya kenal dia dan sebagai adik ipar, rakan dan pelakon, Farid bukan seperti yang sedang berlaku padanya sekarang. Saya yakin Farid akan bangkit menjadi lebih baik dan berharap orang lain turut mendapat pengajaran”

Turut terkesan dengan kejadian itu suaminya, Fadzil Zahari yang bertungkus lumus menyelesaikan kes abangnya. Bermula hari pertama, Yana memberitahu suaminya sibuk hingga kadang-kala tidak sempat meluangkan masa bersama keluarga di rumah.

“Saya kasihan melihat dia yang tidak cukup tidur, malah tidak sempat duduk berbual dengan kami sekeluarga sejak akhir-akhir ini kerana menguruskan kes abangnya. Namun sebagai isteri, saya faham,” katanya kepada Kosmo Online. (rtky/w)

Dalam pada itu, Yana Samsudin mahu tambah anak

Bergelar ibu kepada anak yang masih menyusu badan sepenuhnya telah mengubah kriteria pemilihan tawaran pelakon, Norliana Samsudin atau Yana Samsudin yang memerlukan waktu kerja yang lebih fleksibel.

Menurut Yana, 34, pendekatan sebegitu harus dilakukan kerana dia memerlukan waktu kerja yang fleksibel.

Selama ini, sudah banyak tawaran kerja terutama lakonan terpaksa dilepaskan kerana berasakan dirinya tidak mampu memberikan komitmen terhadap bidang tersebut buat masa sekarang.

Atas sebab itulah, ibu kepada Aisy Mateen, 2, itu dilihat memenuhkan jadual karier dengan bergelar pengacara rancangan CJ Wow Shop dan program bual bicara Bismillah Ad-Dhuha.

Meskipun tugas sebagai hos kelihatan mudah, namun menurut Yana, mengendalikan program yang bersiaran secara langsung menuntut banyak persediaan dan ulang kaji topik atau produk yang ingin diutarakan.

Ditemui pada majlis pelancaran program sepanjang 2018 Media Prima, Yana berkata, buat masa sekarang dia lebih selesa fokus kepada suatu kerjaya dalam satu-satu masa agar dia dapat memberikan yang terbaik dalam apa dilakukannya.

KOSMO!: Adakah anda tidak rindu untuk kembali aktif berlakon seperti dahulu?

YANA: Tipulah jika cakap tidak rindu, namun keutamaan saya sekarang bukan seperti dahulu.

Sekarang saya ada anak dan suami untuk diberikan perhatian terutama Aisy yang masih menyusu badan.

Tahun lalu saya ada berlakon telefilem, namun itu juga saya kategorikan sebagai rezeki kerana produksi itu boleh mengikut waktu saya. Saya fikir, daripada menyusahkan orang, buat masa sekarang lebih baik saya tolak dulu tawaran lakonan.

Apakah perbezaan mengacara dengan berlakon?

Banyak bezanya, tambahan dua program yang saya kendalikan sekarang bercorak siaran langsung jadi saya perlu banyak buat kerja rumah. Ia nampak seperti mudah, namun kami sentiasa mengadakan mesyuarat sebelum siaran langsung bermula.

Sejujurnya, jadual saya agak padat hanya dengan mengacara dan masa yang tinggal cukup-cukup untuk diluangkan dengan keluarga pula.

Bercakap soal anak, adakah anda merancang untuk menambah bilangan ahli keluarga?

Saya dan suami, Fadzil Zahari memang sedang berusaha untuk menambah ahli keluarga cuma belum ada rezeki lagi. Saya memang tidak pernah membuat sebarang perancangan keluarga kerana saya memang suka keluarga besar. Lagipun faktor usia juga memainkan peranan, jadi saya memang tidak mahu tunggu lama.

Maaf ingin bertanya. Selaku salah seorang daripada ahli keluarga Datuk Farid Kamil, bagaimanakah anda melihat kes yang melanda dirinya baru-baru ini?

Ia membuka mata semua orang termasuk kami ahli keluarganya yang sehingga ke hari ini masih tertanya-tanya apa sebenarnya yang terjadi.

Sebelum Farid bergelar abang ipar saya, dia terlebih dahulu menjadi ‘abang’ saya sewaktu kami sama-sama menyertai syarikat MIG suatu ketika dahulu. Saya kenal dia dan sebagai adik ipar, rakan dan pelakon, Farid bukan seperti yang sedang berlaku padanya sekarang.

Suami anda, Fadzil merupakan antara individu paling sibuk dan dicari sejak kes berkenaan berlaku. Sebagai isteri, apakah yang anda lakukan untuk memberi sokongan?

Saya kasihan melihat dia yang tidak cukup tidur, malah tidak sempat duduk berbual dengan kami sekeluarga sejak akhir-akhir ini kerana menguruskan kes abangnya. Namun sebagai isteri, saya faham ini adalah tanggungjawabnya terhadap Farid yang memerlukan bantuan.

Saya juga faham tugas media yang memerlukan jawapan dan sangat berterima kasih kerana tidak pernah memaksa atau membuat provokasi jika pihak Fadzil tidak boleh menjawab soalan. Sebagai isteri, apa yang saya boleh minta ialah berikanlah sedikit ruang kepada mereka untuk menyelesaikan apa yang perlu didahulukan.

Apakah hikmah yang anda lihat daripada kejadian yang menimpa Farid?

Bagusnya kerana pada usia 37 tahun, dia telah diuji dengan ujian yang berat. Dia masih muda dan belum mencecah usia 40. Jadi, jika diizinkan Tuhan, dia ada banyak ruang untuk baiki diri.

Saya yakin Farid akan bangkit menjadi lebih baik dan berharap semua yang mengikuti kesnya turut mendapat pengajaran.

Sumber